Sumber:-Ana tertarik dengan posting diblog ini, dan mahu berkongsi dengan sahabat2 sekalian
http://www.satuhala.blogspot.com/2007/10/pembohongan-audio-azab-kubur_23.html



Sebelum membaca artikel di bawah, sila tonton video ini sampai habis dulu... jika ada masalah dengan video, anda boleh downloadnya dari youtube melalui link kawan saya ini...
http://www.youtube.com/watch?v=IqIgqlsogf4

Assalamualaikum warahmatullah. Baru-baru ini, sebelum bercuti hari raya, seorang sahabat pengunjung setia satuhala yang sering berutus email telah mengemailkan kepada saya sebuah file mp3 dengan tajuk azab kubur. Sesudah membuka email kirimannya, lantas saya save-kan di dalam sebuah folder untuk saya meneliti kandungan di mana-mana masa yang terluang nanti. Disebabkan sibuk dengan berbagai perkara, saya cuma sempat meneliti kandungannya dengan mendengarnya di dalam kereta semasa memandu untuk ke sebuah gedung membeli belah di Pulau Pinang.

Semuanya seperti biasa dengan keindahan melodi pujian kepada Pencipta dan rasa kasih dan rindu kepada Rasulullah s.a.w. yang diungkapkan dengan bait-bait lirik di dalam lagu-lagu yang dikongsi rakan tersebut dengan saya. Terima kasih atas pemberian tersebut, ianya sangat menyenangkan hati dan akal fikiran yang sepanjang Ramadhan ini diasak dengan pelbagai ujian. Tetapi keasyikan itu tidak lama, sebaik saja melompat ke track yang dinamakan dengan azab kubur, terdengar ungkapan kata-kata seseorang seperti sedang menyampaikan kuliah agama. Tanpa mengetahui siapa si penceramah itu dan tempat mana dia berceramah, saya terus menguatkan volume untuk mengetahui butir-butir apa yang cuba disampaikan penceramah tersebut. Dari gaya pertuturannya, berkemungkinan si penceramah tersebut berasal dari Indonesia dan khalayak yang mendengarnya juga berkemungkinan berasal dari negera yang bersaudara dan serumpun dengan Malaysia.

Di dalam ceramah tersebut, diceritakan mengenai satu penemuan yang agak mengejutkan oleh seorang Ahli Kaji bumi bernama Dr. Azzacove. Dengarkan butirannya di dalam audio yang dilampirkan di atas.

Selepas saja mendengar petikan audio selama 38 saat yang dimuatkan di dalam ceramah tersebut, serta merta satu perasaan gerun menyelubungi hati, minda dan perasaan saya. Mendengarkan jeritan jutaan manusia sepertimana yang dikatakan di dalam petikan ceramah tersebut segera mengingatkan saya dengan satu babak dalam filem Event Horizon lakonan Sam Neil yang menggambarkan kapal angkasa tersebut terlajak masuk ke dimensi yang tak sepatutnya dilaluinya. Dimensi tersebut digambarkan sebagai ‘neraka’. Begitu juga dengan babak dalam filem Constantine lakonan Keanu Reaves semasa watak tersebut menjelajah ‘neraka’ untuk mengambil tag tangan kembar kepada wanita yang cuba di tolongnya. Sangat menggerunkan babak yang digambarkan, sedangkan itu baru hanya gambaran babak yang divisualkan melalui khayalan manusia yang cuba menggambarkan apa itu neraka. Neraka sebenarnya tak tergambarkan. Semua yang diimaginasikan oleh akal manusia tidak sekelumit pun dapat menyamai dashyat apa yang dinamakan neraka itu sendiri. Sedangkan api neraka ciptaan Allah sendiri mengadu sakitnya diri mereka dimakan saudara-saudara mereka yang juga api neraka yang panas membakar. Seksaan Allah sangat pedih dan amat dashyat kepada mereka yang menerima kemurkaanNya. Lebih menyeksakan lagi ialah, tiadanya jalan keluar dari penderitaan yang bakal ditanggung oleh penghuninya. Di dunia, kebanyakan manusia yang tidak beriman, apabila dia menghadapi sesuatu masalah yang tak sanggup dihadapinya, dia akan mencari jalan untuk menamatkan riwayatnya sedangkan dia tidak tahu bahawa dengan membunuh diri itu sendiri, akan membuka masalah yang lebih dashyat iaitu kemurkaan Allah.

Disebabkan amat terganggu dengan ‘jeritan-jeritan’ yang masih terngiang-ngiang di dalam kepala, saya menutup rakaman tersebut dan memberhentikan kereta seketika. Perkara tersebut membuatkan saya terfikir untuk menyiasat akan kebenaran perkara ini kerana ianya sangat mengganggu minda saya.

Maka apabila sampai saja ke rumah, terus saya mengambil laptop dan membuat sedikit pencarian di internet. Akhirnya setelah menghabiskan masa di depan laptop hampir sehari suntuk, kebenaran yang saya cari-cari saya ketemuinya. Memang tidak mengejutkan apa yang saya temui itu kerana dari awal lagi saya sudah mempunyai persepsi bahawa perkara ini merupakan antara jutaan pembohongan yang saban hari di telan bulat-bulat oleh muslimin dan muslimat yang tidak mahu berfikir dulu sebelum mempercayai sesuatu.

Lantas teringat saya dengan peristiwa fitnah yang menimpa Saiditina Aishah r.a. isteri Rasulullah s.a.w.. Fitnah tersebut hampir menggoncangkan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Sehinggalah wahyu dari Allah membersihkan tohmahan yang dilemparkan kepada isteri Rasulullah s.a.w. Wahyu dari Allah tersebut termuat di dalam surah An Nuur ayat 11 – 20.

Meskipun ayat-ayat tersebut berkisar tentang berita fitnah yang dilemparkan ke atas Saiditina Aishah r.a., Allah s.w.t. menegur perbuatan sampai menyampaikan berita tanpa usul periksa dan tidak tahu kebenarannya. Ini kerana ramai yang akan terkesan dengan akibat dari penyebaran berita sebegini.

An Nur 11
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

An Nur 14
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu;

An Nuur 15
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.


Allah s.w.t. juga menegur perbuatan penyebaran berita yang tidak diketahui kesahihannya terlebih dahulu. Berita-berita sebegini seharusnya diperhalusi dahulu oleh mereka-mereka yang arif dan mempunyai kuasa ke atas sesuatu supaya kebenarannya dapat dipastikan.

An Nisaa’ 83
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).


Sebagai Muslim kita seharusnya beringat kerana kita telah pun diperingatkan berulang kali dalam Al-Qur’an dan Hadis-Hadis Rasulullah s.a.w. tentang perkara ini. Jangan terus menyebarkannya sebelum kebenaran diperolehi. Perkara-perkara sebegini bukannya kecil kemudaratannya, tetapi sangatlah besar. Jika api perkauman yang dicanangkan, porak perandalah negara nanti akibatnya dari penyebaran berita berunsur fitnah ini. Jika kita menyebarkan sesuatu yang tidak betul mengenai Kekuasaan Allah, ianya membawa erti kita memfitnah Allah dengan mengatakan bahawa kawalanNya ke atas alam barzakh amat lemah dan dapat ditembusi dengan teknologi yang diusahakan oleh manusia. Sedangkan sepanjang pengetahuan saya cuma Rasulullah s.a.w. sahaja yang pernah mendengar azab kubur yang ditimpakan ke atas seorag pemuda yang tidak membersihkan dirinya dengan betul setiap kali dia membuang air. Padahal ketika itu, baginda dikelilingi oleh para sahabatnya yang tahap iman mereka antara yang tertinggi dalam umat Islam. Apakah Dr. Azzacove dalam cerita itu tadi lebih tinggi kasyafnya sehingga layak diperdengarkan tentang azab kubur (didakwa oleh penceramah tadi) atau pekikan ahli neraka sebagaimana yang didakwa media-media Kristian Televengalist.

Berbalik kepada cerita disebalik audio rakaman yang dikatakan sebagai suara ahli neraka (ini asalnya) dan versi yang diIslamkan iaitu suara ahli kubur (sepertimana yang didakwa oleh penceramah tadi). Setelah saya membuat carian di Internet, akhirnya saya menemui beberapa laman yang membincangkan tentang perkara ini. Cerita ini asalnya bermula apabila Trinity Broadcasting Network (TBN) pada akhir 1989 atau awal 1990 menyiarkan dalam siaran TV mereka rakaman audio ini yang dikatakan mereka diperolehi dari seorang Kristian Evangalist (Kristian Yang dilahirkan semula sama seperti pegangan George W. Bush dan golongan mereka inilah penyokong kuat rejim Zionis Israel) R. W. Schambach yang berasal dari Texas, Amerika (juga sama seperti tempat asal George W. Bush). Rangkaian TBN ini merupakan sebuah rangkaian fundamentalis Kristian yang bergerak cergas diseluruh dunia. Kini mereka bercawangan pula di Baghdad, Iraq. Menurut sumber tersebut, Schambach ini memperolehi cerita ini dari sebuah jurnal yang dikatakan oleh beberapa sumber sebagai Jurnal Saintifik yang diterbitkan di Finland malah ada juga sumber yang menyatakan bahawa cerita ini diperolehi dari sebuah ‘akhbar Finland yang masyhur dan amat disegani’. Kedua-dua sumber itu bersepakat dalam nama penerbitan akhbar tersebut dan menamakannya sebagai akhbar dengan nama Ammennusastia.

Apabila sebuah laman web dengan nama truthorfiction.com melakukan penyiasatan mendalam mengenai perkara ini, mereka mendapati bahawa ‘akhbar Ammennusastia’ ini bukanlah sebuah jurnal saintifik atau akhbar ternama seperti yang dinyatakan melalui sumber yang diperolehi sebelum ini. Tetapi Ammennusastia ini hanyalah merupakan sebuah risalah bulanan yang diedarkan kepada penganut-penganut Kristian di Finland.

Mereka, Ammennusastia , pula mengatakan mereka memperoleh cerita dan rakaman audio ini dari sebuah ‘artikel berita utama’ yang dimuatkan dalam akhbar Etela Sourmen. Siasatan selanjutnya menunjukkan bahawa cerita ini bukanlah sebuar ‘artikel berita utama’ dalam surat khabar Etela Sourmen sepertimana yang di dakwa. Ianya cuma merupakan surat pembaca kepada editor akhbar tersebut yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca.

Lelaki yang menulis surat tersebut kepada editor Etela Sourmen pula memperolehi cerita tersebut dari seorang mubaligh Kristian Finland yang bernama Vaeltajat. Mereka kemudian menyatakan bahawa mereka memperolehi sumber cerita tersebut pula dari sebuah surat yang di tulis oleh orang Yahudi Kristian dari California, Amerika. Truthorfiction.com hanya dapat mengesan asal cerita ini sejauh ini sahaja.

Semenjak dari penyiaran yang dibuat oleh TBN itu, semakin banyak pertubuhan Kristian menggunakan rakaman audio tersebut bagi tujuan dakwah mereka bagi membuktikan bahawa Kitab Bible itu benar dalam membicarakan mengenai perihal api neraka dan seksaannya. Ramai yang telah terkesan dengan pembohongan ini akibat takut mendengar bunyi audio yang dirakamkan tersebut. Ianya sehingga kini dimuatkan dalam banyak laman web Kristian bagi tujuan dakwah. Sebagai contoh anda boleh lawati laman Godtube dengan klik linknya dibawah ini untuk memastikannya.
Terdapat banyak lagi laman web Kristian yang menyiarkan rakaman audio tersebut bagi tujuan dakwah mereka. Ini bagi mereka sebagai membuktikan bahawa kandungan Kitab Bible mereka yang menyatakan bahawa neraka itu terletak di lapisan bawah bumi sebagai benar.



Jika sumber artikel itu dikatakan sebagai rekaan, bagaimana pula dengan fakta berkenaan Dr. Azzacove dan ekspedisi pasukannya dalam penggalian lubang terdalam di bumi? Setelah membuat beberapa carian lagi, saya mendapati bahawa ekspedisi penggalian yang dimaksudkan itu memang wujud. Tujuan ekspedisi tersebut ialah untuk menggali sebuah lubang paling dalam sehingga mencecah 15,000 meter atau 15 km ke dasar bumi sehingga mencapai lapisan sempadan lapisan kerak bumi paling dalam yang bersempadan dengan lapisan Mantel. Sempadan ini dinamakan juga sebagai Mohorovičić discontinuity, atau "Moho." Pihak Russia telah membuat beberapa inovasi baru bagi membolehkan penggalian dengan kedalaman sedemikian rupa dapat dibuat. Bermula pada tahun 1962, projek ini dilakukan dibawah seliaan USSR's Interdepartmental Scientific Council for the Study of the Earth's Interior and Superdeep Drilling (Majlis Saintifik Antara Jabatan Bagi Penyelidikan Bahagian Dalam Bumi dan Penggalian Terdalam USSR). Projek ini dimulakan serentak dengan projek penerokaan angkasalepas USSR dalam pelumbaan mereka dengan Amerika Syarikat bagi menguasai angkasa. Setelah selesai membuat tinjauan tempat penggalian paling ideal, tahun 1965 menyaksikan Semenanjung Kola di Russia di pilih sebagai tapak kepada penggalian yang bakal dilakukan. Persediaan dari segi pembinaan tapak projek bagi membolehkan penggalian tersebut dibuat mengambil masa sehingga lima tahun dan disiapkan hanya pada tahun 1970. Tapak projek tersebut dilindungi oleh binaan setinggi 200 kaki. Kebiasaan yang digunakan dalam mana-mana penggalian sebelum dari itu terutamanya di tapak carigali minyak, kaedah yang digunakan ialah dengan menggunakan shaft penggerudi yang disambung-sambung dan ditambah bila kedalaman penggalian meningkat. Keseluruhan shaft yang disambung tersebut akan berputar bersama dengan mata penggerudi tersebut. Pihak Russia mendapati bahawa kaedah sebegini adalah tidak boleh digunapakai bagi penggalaian terdalam yang mereka rancangkan di Semenanjung Kola ini. Maka mereka mencipta satu inovasi baru iaitu dengan menggunakan kaedah di mana cuma mata penggerudi yang mencecah dan memecah batuan sahaja yang berputar manakala shaftnya kekal statik. Beberpa lubang penggalian telah di buat dan lubang yang paling dalam dicatatkan ialah lubang yang dikenali sebagai ‘SG-3’. Lubang berkenaan berdiameter 9 inci dan mencatatkan kedalaman 12.262 km atau 7.5 batu ke dalam kerak bumi. Penggalian mengambil masa sehingga 24 tahun untuk mencapai kedalaman tersebut.

Penggalian tersebut akhirnya dihentikan pada tahun 1994 pada kedalaman tersebut yang mana ianya kurang 2.7 km dari sasaran kedalaman asal yang mereka tetapkan iaitu 15 km. Projek ini dihentikan disebabkan oleh kelengkapan penggalian yang mereka ada tidak dapat mengatasi masalah peningkatan suhu yang cepat meningkat apabila lubang tersebut digali semakin dalam. Sebelum dari itu, pengkaji bagi penggalian tersebut telah membuat anggaran bahawa pada kedalaman sedemikian rupa, suhu batuan tersebut berkemungkinan akan mencatatkan suhu sebanyak 100°C (212°F). Tetapi apabila mata gerudi tersebut mencecah kedalaman 12.262 km tersebut, suhu yang dicatatkan ialah 180°C (356°F), lebih tinggi dari jangkaan mereka sebelum ini. Di samping itu di tambah struktur batuan pada kedalaman tersebut dan pada suhu tersebut, sifat batuan tersebut bersifat seakan-akan plastik yang mana pada setiap kali lubang dibuat dan mata penggerudi ditarik, batuan-batuan itu akan menutupi kembali lubang yang digali. Disebabkan ketiadaan teknologi yang wujud pada masa tersebut sehingga kini yang membolehkan para pengkaji tersebut mengatasi masalah yang dinyatakan tadi, maka penggalian lubang ‘SG-3’ tersebut dihentikan sehingga kini. Para pengkaji tersebut menganggarkan jika penggalain diteruskan sehingga kepada kedalaman 15 km, maka suhu batuan yang bakal dicatatkan berkemungkinan mencecah 300°C (572°F). Kedalaman 12.262 km yang dicatatkan tersebut hanya sebahagian sahaja dari kedalaman kerak bumi yang dianggarkan oleh pengkaji memiliki kedalaman antara 20 km hingga 80 km dalam. Kini tapak tersebut masih digunakan bagi kajian saintifik meskipun aktiviti penggalian kepada kedalaman seterusnya telah lama dihentikan. Tapak tersebut kini diuruskan oleh State Scientific Enterprise on Superdeep Drilling and Complex Investigations in the Earth's Interior atau dikenali sebagai Deep Geolaboratory.
Laporan mengenai kajian tersebut boleh di akses di link di bawah :

http://adsabs.harvard.edu/abs/2002EGSGA..27.3349L

Tidak dapat dipastikan siapa itu Dr. Azzacove dan pasukan yang dinyatakan dalam ceramah tersebut. Berdasarkan fakta penggalian yang diceritakan di atas, semua yang disebut dalam terjemahan yang dibaca oleh penceramah tadi sangat tidak bertepatan dengan fakta sebenar mengenai penggalian di Semenanjung Kola tersebut. Antara fakta yang bercanggah ialah ;
1)Penceramah tersebut meyatakan bahawa kedalaman yang dicapai kerja penggalian tersebut ialah 14.4 km padahal kedalaman yang dicatatkan ialah 12.262 km. perbezaan yang dicatatkan ini bukanlah kecil tetapi hampir kepada perbezaan 2000 m.

2) Penceramah tersebut menterjemah fakta yang salah mengenai suhu yang dicatatkan pada kedalaman penggalian yang dibuat. Si penceramah tersebut menyatakan bahawa suhu yang dicatatkan ialah 2000°C padahal suhu yang dicatatkan hanya sekitar 180°C.

3) Di dalam petikan yang diterjemahkan oleh penceramah tersebut menyatakan penggalian yang dibuat pada kedalaman tersebut dihentikan kerana lapisan terakhir dibawah kerak bumi yang dipecahkan itu adalah lubang kosong atau lohong. Padahal fakta penggalian menyatakan masih terdapat batuan panas pada kedalaman yang dicatatkan.

4) Penceramah tersebut menterjemahkan petikan yang dibacanya dengan menyatakan bahawa aktiviti penggalian yang dibuat tersebut dihentikan setelah mereka mendengar rakaman jeritaan jutaan manusia yang digambarkan sebagai berada di dalam neraka padahal aktiviti tersebut dihentikan kerana ketiadaan teknologi bagi membolehkan mereka mengatasi masalah batuan yang lembut seakan plastik yang sentiasa menutupi lubang penggalian yang mereka lakukan.

5) Penceramah tersebut juga menterjemah petikan yang menyatakan bahawa rakaman tersebut dilakukan dengan menggunakan ‘super sensitive microphone’ yang dimasukkan ke kedalaman yang dicatatkan. Sepertimana yang dikatakan didalam petikan tersebut, suhu yang dikatakan pada kedalaman tersebut mencatatkan 2000°C. Tiada kelengkapan rakaman yang boleh menahan suhu sedemikian rupa wujud di dunia ini pada ketika ini.

6) Kesalahan terbesar yang dibuat penceramah tersebut ialah dengan mengIslamkan versi propaganda Kristian televengelist ini dengan menukar ‘suara ahli neraka’ kepada ‘rakaman suara ahli kubur’. Kubur siapakah yang dikorek pada kedalaman 14.4 km? Setahu saya, ukuran kedalaman standard bagi mana-mana kubur bagi mana-mana penganut apa jua agama ialah sekitar hanya 7 kaki. Siapa yang di tanam pada kedalaman sedemikian rupa? Tolonglah.. tak larat dah ni....

7) Kemudian apabila si penceramah ini membuat ulasan berkenaan asap yang keluar dari lubang tersebut yang berbentuk seperti sayap kelawar, dia cuba mengulas dengan memberikan pandangannya dengan menyatakan boleh jadi bentuk tersebut menyerupai nama Allah... come on ya sheikh!!! Jangan menyatakan sesuatu tanpa mengkajinya terlebih dahulu! Saya telah mencari banyak gambar sayap kelawar untuk dibandingkan dengan nama Allah.. tetapi satu pun tak sama! Cuba saksikan dalam video saya di atas untuk mengetahui kebenarannya.

8) Penceramah ini kemudiannya menyatakan bahawa terdengar jeritan seperti orang bertakbir. Saya telah membuat analisis audio dengan memperbaiki mutu audio tersebut. Tetapi yang hanya kedengaran ialah bunyi ramai orang sedang sibuk seperti menyerbu sesuatu atau sedang menyaksikan sesuatu. Tiada langsung jeritan takbir!


9) Dia juga menyatakan bahawa rakaman tersebut ialah suara orang di seksa dalam kubur. Saya telah memperbaiki keseluruhan rakaman yang dibuat dan hasilnya seperti yang saudara dapat dengar dalam video di atas. Rakaman dengan bunyi sedemikian rupa boleh saja didapati di mana-mana kantin sekolah, pejabat, stesen bas, majlis perasmian, rumah terbuka Pak Lah, perarakan Thaipusam, pesta Pulau Pinang, dalam kelas yang cikgu tak masuk atau cikgu hari-hari tidur, bar-bar minuman dan sessi bertemu artis terkenal (yang sekadar tempelan majalah tak termasuk..), stadium di bahagian penyokong pasukan yang menang bola (yang kalah selalunya diam…) dan banyak tempat lagi. Tak percaya? Jika anda punyai handphone atau apa jua alat perakam yang boleh merakamkan audio atau suara, cuba pergi ke tempat-tempat yang saya nyatakan dan buat rakaman sendiri. Kalau tak ada, saya ingin cadangkan beberapa link di bawah untuk anda lawati. Ada tiga semuanya. Yang pertama majlis perasmian buku Harry Porter… anda pasti akan temui persamaan dengan audio suara azab kubur yang telah saya perbaiki. Yang kedua dan ketiga ialah video wrestling. Cuba anda dengarkan jeritan penontonnya.. pasti anda akan bersetuju dengan saya bahawa ianya sama dengan jeritan ‘ahli neraka’ tersebut:

3) http://www.youtube.com/watch?v=6uSaA37cJqM (warning bagi kaum hawa, video ini melibatkan aurat lelaki yang hanya berseluar superman dalam perlawanan wrestling, pejam mata dan cuma dengar jeritan penonton tersebut…)

Sebagai penutup saya ingin catatkan kata-kata Darwin’s Beagle, salah satu sumber di mana fakta-fakta di atas saya perolehi. Dia menyatakan..

Evolution says that we share a common ancestor with a jackass. It does not give us license to act like one.

Terjemahannya, (Teori) Evolusi menyatakan bahawa kita berkongsi nenek moyang yang sama dengan keldai. Tapi ini bukanlah ia bermakna kita diberi kebenaran untuk berkelakuan sepertinya.

Menang menyakitkan hati... walaupun sarcastic perkataannya itu, dia cuba meyedarkan khalayak Kristiannya yang ditipu oleh Puak Televengelist. Bagi saya pula, kita jangan jadi tiMah. tiMah ialah tipikal muslimin muslimah yang bersepah di dunia yang bila saja sesuatu perkara yang mengarut dibawakan kepada mereka, terus mereka percaya tanpa usul periksa. Teringat saya satu peristiwa lebih kurang tahun lepas bila sebuah pokok pinang mengeluarkan tandan yang berbentuk wajah seorang tua menghadap kiblat, lalu berpusu-pusulah tiMah-tiMah ke sana untuk menyaksikan orang tua itu menghadap kiblat sehinggakan hanya tandan pinang itu saja yang menghadap kiblat pada waktu sembahyang, sedangkan majoriti tiMah-tiMah di situ hanya memerhatikan wajah tua tersebut menghadap kiblat tanpa mereka melakukannya. Sampai bila kita nak jadi seperti ini? Dapat saja email terus forwardkan dengan tanpa usul periksa. Ini tak termasuk dengan berita meteor bakal hentam bumi pada tahun sekian-sekian yang akan mengakibatkan kiamat (umie safa minta saya komen perkara ni.. tapi tak sempat lagi...insyaAllah jika ada kesempatan saya akan lakukan... ), gambar toyol dalam botol, gambar toyol dalam pameran hantu yang saya nampak macam wajah usop sontorian (watak kartun melayu satu ketika dulu.. takut rakan-rakan saya dari luar Malaysia tak kenal nanti..) saja, berita bunga mawar di langit yang saya hampir menyampah menerimanya setiap hari oleh member baik (sorry la ben.. terglamer hang kat sini pulak...) saya yang sudah beribu kali saya nasihatkan supaya jangan diforwardkan berita atau sesuatu yang kita sendiri tak pasti kebenarannya atau salah tafsir sedangkan surah Ar Rahman yang dipetik berkenaan peristiwa mawar merah di langit itu menceritakan sesuatu yang lain. Apa nak jadi dengan kita semua? Mungkin perkara suara azab kubur ini sesuatu yang sudah lama berlegar dalam alam cyber ini, dan saya berterima kasih kepada rakan saya tersebut kerana memberikannya kepada saya di waktu saya lapang... kalau tidak, tentulah saya juga jadi tiMah sebab tak sempat nak study dan terus percaya... memang terkejut pada mulanya, tapi alhamdulillah kebenarannya dapat saya temui..

Al An’aam 67
Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.
Harap artikel ini memberikan penjelasan dan manfaat kepada anda dan saya. Wallahua’lam.

0 comments:


Related Posts with Thumbnails